SIBU: Kualiti air di kawasan wilayah tengah Sarawak akan menjadi lebih baik, selepas pelaksanaan sebanyak 19 projek berimpak tinggi di kawasan siap.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek itu dibiayai Kerajaan Sarawak membabitkan peruntukan sebanyak RM394 juta.
Menurutnya, sebanyak 15 daripada projek tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak iaitu 14 Projek Rakyat dan satu Projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).
“Manakala, empat lagi projek dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya selepas menghadiri Taklimat Projek Bekalan Air Bahagian Sibu di pejabat Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sibu, hari ini.
Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) itu memberitahu, kesemua 19 projek tersebut berjalan serentak.
“Sebanyak 13 daripada projek ini telahpun selesai, manakala tiga lagi masih dalam pelaksanaan dan tiga lagi dalam perancangan iaitu projek KPLB untuk dilaksanakan pada akhir tahun ini dan awal tahun hadapan,” jelasnya.
Turut hadir ialah Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Chang Kuet Shian.
Sumber dari : Jiwa Bakti